Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Featured Posts

SIHAT DAN LANGSING DENGAN NONA ROGUY


Datin Sharifah Anisah bt Tan Sri Dato’ Profesor Syed Agil Barakbah, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Nona Roguy dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Negeri Kedah, Perak dan Johor. Merupakan pelukis impressionis, Datin Anisah pernah memenangi beberapa pertandingan melukis peringkat nasional. Beliaulah wanita Melayu pertama yang ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni halus di Royal Academy of Fine Arts, Munich, Germany dan lulus dengan ijazah sarjana muda dengan kepujian.

Desakan dan permintaan kawan serta kenalan yang tidak putus-putus mengharapkan bantuan perubatan herba dan rawatan tradisional Melayu pada sekitar tahun 1965 telah mendorong beliau menukar haluan kerjaya. Keberhasilan "perawatan" yang diberikan kepada mereka itu mendatangkan kesedaran kepada Datin Anisah-bahawa beliau telahpun mewarisi ilmu dan kemahiran perubatan herba dan perawatan tradisional yang diperturunkan daripada leluhurnya, yang dapat dijejaki sehingga 800 tahun lalu, bermula dari Hadramaut-Yaman, menyelusuri wilayah di China, India, dan berkembang ke Solo Palembang, Siak, Acheh, dan Jambi dan sampailah ke Kedah Darul Aman. 

Pada ketika itu, ramuan yang diberikannya lebih dikenali sebagai "Ubat Mak Tuan" atau "Ubat Kak Pah". Sifat suka menolong dan mengambil berat akan kebajikan insan lain yang dianugerahkan Tuhan kepadanya telah mempertajam upaya beliau.Dari semasa ke semasa, beliau berusaha memperdalam ilmu dalam bidang perawatan dan perubatan herba., yang mana sebahagian besar yang menerima rawatan daripadanya berhasil meningkatkan kualiti hidup mereka.
 
Bermula dengan meramu herba di dapur rumahnya, beliau menjalankan perawatan pengantin dan penjagaan ibu dalam pantang bersalin. Beliau juga merawat masalah sakit puan seperti ketumbuhan fibroid, ketidaksuburan, ketidakseimbangan hormon, dan lemah tenaga batin. Mereka yang menerima perawatannya terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa. Pada tahun 1983, beliau membuka sebuah pusat rawatan kesihatan dan kecantikan di Ampang. Dengan jenama Sari Rapi, beliau menawarkan rawatan spa medic (spa perubatan) dan spa wellness (spa kesihatan) kepada para pelanggan. Pada ketika itu, "spa" belum pun wujud di pasaran Malaysia. Di situ beliau memperkenalkan "jamu Melayu" atau lazim disebut "ubat kampung" sebagai amalan kesihatan, yang mana sebelum ini hanya terdapat di desa-desa.

Pada tahun 1990, beliau berpindah ke Damansara dan memperbesar pusat rawatannya. Pada tahun 1991, dalam seminar Herba Antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur anjuran Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Badan Kesihatan Sedunia (WHO), pusat rawatan beliau telah dikenal pasti sebagai model pengendali spa melayu. Beliau telah menubuhkan Kumpulan Syarikat Nona Roguy pada tahun 1993 bagi menjalankan aktiviti pemasaran dan perawatan dibawah jenama Nona Roguy, yang dalam bahasa Sanskrit bermaksud "bebas daripada penyakit". Kakanda beliau, Sharifah Rogayah pula dipertanggungjawabkan atas pengeluaran produk di kilang mereka-Mustajab Industries- di Alor Setar, Kedah.

Pada tahun 1995, beliau membuka gedung herba Nona Roguy di Bangsar Baru yang beroperasi dengan kaedah jualan langsung. Sebuah pusat rawatan kesihatan dan kecantikan turut dibuka di Taman Tun Dr Ismail. Pusat rawatan tersebut seringkali dipilih oleh Kementerian Kesihatan sebagai model spa Melayu dan menjadi tempat lawatan serta rujukan bagi pegawai kesihatan daripada pelbagai organisasi, seperti Badan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Datin Anisah bersikap serius dan pragmatik untuk merungkai rahsia perubatan Melayu dalam konteks sains dan perubatan moden. Beliau memanfaatkan rujukan daripada pelbagai sumber bagi mengkaji dan mendapatkan kefahaman serta perbandingan antara perubatan tradisional dan perubatan moden. Tanpa was-was atau segan silu, jauh sekali daripada sikap akomodatif, beliau sentiasa mempelawa para penyelidik menjalankan kajian saintifik dan klinikal bagi menganalisis keberkesanan produk herba keluaran syarikat beliau. Setakat ini penyelidikan berkaitan masalah fibroid dan sakit meroyan telah pun berjaya dilaksanakan. Atas pengalaman luas dan kefahaman yang mendalam berkaitan bidang ini, beliau sering disebut sebagai jambatan terakhir bagi menghubungkan falsafah dan prinsip perubatan tradisional Melayu dengan dunia perubatan moden.

Sehubungan itu, beliau kerap diundang memberikan syarahan di beberapa Universiti tempatan seperti Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia. Beliau turut memberikan ceramah di Hospital Besar Kuala Lumpur, Hospital Bersalin Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang. Datin Anisah juga dijadikan pakar rujuk dalam bidang perubatan herba dan perawatan tradisional di beberapa organisasi, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia. Di peringkat antarabangsa, beliau diundang menyertai pelbagai persidangan antarabangsa dalam bidang berkaitan antaranya di London, Los Angeles, Hua Hin, Hawaii, Paris, Nairobi, Beijing, Bangkok, Jakarta, Brunei, Singapura dan Australia.

Datin Anisah sering muncul dalam media elektronik dan cetak bagi membincangkan bidang kepakarannya. Media tersebut termasuklah yang berpusat di luar negara, yang mana beliau telah ditemuramah berulang kali oleh beberapa stesen televisyen dalam liputan lintas langsung ke Jepun, Jerman, England dan Perancis. Aktif dalam dunia niaga, Datin Anisah sentiasa beriltizam untuk menobatkan identiti produk dan spa Melayu di peta dunia. Perkara ini menjadi nyata apabila beliau mengembangkan cabang baru dalam perniagaan Kumpulan Syarikat Nona Roguy. Satu perkongsian bistari dimeterai dengan kumpulan YTL yang begitu menyanjungi kekayaan ilmu Melayu.

Nona Roguy dan produknya menjadi teraju perkhidmatan Spa Melayu buat julung-julung kalinya di resort lima bintang seperti di Pangkor Laut (Perak), Tanjung Jara (Terengganu), Cameron Highlands dan Kuala Lumpur. Perkhidmatan tersebut mendapat sambutan antarabangsa, sehingga memperoleh undangan mengadakan demonstrasi dan promosi di The Harrods, London pada Jun 2006, dan telah pun menerima undangan kedua untuk tahun 2007. Bagi melangsungkan warisan ilmu Melayu, Datin Anisah menyusun strategi khusus iaitu dengan menawarkan kursus dan latihan secara formal. Ini dimulai dengan bidang urutan, rawatan terperinci selepas bersalin dan Spa Melayu atau seni andaman, selain ceramah berkaitan ilmu herba dan khasiat produk yang diberikannya dari semasa ke semasa kepada ahli Nona Roguy di seluruh negara. Beliau turut memberikan khidmat konsultasi penyakit, kesihatan dan kecantikan serta motivasi dalam perniagaan kepada mereka yang memerlukan bimbingan dan nasihat dalam bidang perubatan dan perawatan Melayu.

Dalam bidang penulisan pula, beliau banyak menghasilkan makalah, dan buku kecil berkaitan perubatan herba dan penyakit, terutama yang berkaitan dengan sakit puan. Datin Anisah juga aktif dalam persatuan yang terlibat membangunkan industri perubatan tradisional serta industri kecil dan sederhana negara. Beliau menjawat gelar Naib Presiden (Pengamalan) dalam Persekutuan Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (PUTRAMAS), dan Timbalan Presiden bagi Small Scale Industries Association of Malaysia. Atas kepakarannya, Datin Anisah telah dilantik sebagai ahli panel bagi Pembentukan Standard dan Kriteria Amalan Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia, Panel Pakar Pembangunan NOSS/NOCC - Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), Kementerian Sumber Manusia, dan ahli Panel Penilai Bidang Perubatan dan Sains Kesihatan di bawah naungan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti (QAD), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Antara bidang tugas dan tanggung jawab beliau ialah membangunkan piawai dan kurikulum untuk pembelajaran dalam bidang tersebut.

Atas jasa dan khidmat membangunkan industri herba negara, Datin Anisah diberikan pelbagai anugerah dan pengiktirafan, antaranya Jatiwanita, sempena Perhimpunan Agung Umno (tahun 2003), yakni sebagai usahawan wanita dalam bidang bioteknologi, Anugerah Usahawan Inovasi, daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia; dan dilantik sebagai Senator Kehormat dalam Dewan Senat Utah, Amerika Syarikat pada tahun 2001.