Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

MYBURGER DIDIK NUZUL BERNIAGA

Nuzul Ikmal Hafiz bin Anuar
Dari kejauhan, di sisi kanan hadapan Kaunter Lembaga Zakat Selangor (LZS) Cawangan Selayang, dia cekatan menyiapkan pesanan. Dua anak gadis menanti sabar. Asap dari kuali leper naik ke udara, bersama bau yang membuka selera. Dua keping daging ayam sebagai inti yang garing dan enak dipanggang, bersama irisan salad dan timun juga tomato, sebiji telur digoreng bulat sebagai lapisan pelengkap, diisi juga mayonis dan sos lalu akhirnya diapit dua bun yang lembut. Akhirnya, siaplah sebiji burger ayam istimewa sedia untuk dinikmati.

“Assalamualaikum! Adik, nanti jika ada masa ustaz mahu jumpa sekejap. Juga jangan lupa, siapkan tiga biji burger ayam istimewa ya!” Penulis menyapa ringkas. Tanpa songeh – meminjam istilah anak remaja – anak muda ini hanya mengangguk. Tidak lama, kira-kira 20 minit kemudian dia sudah terpacul di muka pintu Kaunter LZS Selayang dan di tangannya tersedia membimbit seuncang plastik berisi burger ayam istimewa, masih hangat dan tiga biji semuanya!

“Tak mengapakah tinggal warung sekejap?” Penulis memanaskan perbualan. Dia awalnya tampak canggung. Maklumlah, tiba-tiba sahaja dipanggil masuk ke pejabat. Diwawancara pula oleh penulis, wakil dari ibu pejabat. Mungkin dia terfikir, ada sesuatu yang mahu ditegur. Maka, wajar bagi penulis berbasa-basi mengendurkan suasana.

“Tak apa ustaz, ada rakan tolong tunggu.” Balasnya ringkas. Perbualan selanjutnya, dia membuka cerita. Namanya Nuzul Ikmal Hafiz bin Anuar, baharu berusia 20 tahun. Dia anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Anak sulung adalah kakaknya, di bawahnya ada duaa orang lagi adik-adik, seorang perempuan dan seorang lelaki.

“Bantuan perniagaan ini sebenarnya disediakan oleh LZS bagi asnaf yang layak. Ibu saya, Janatul Hazar bt. Mohamad, memang merupakan penerima bantuan zakat di LZS. Jadi, apabila ditawarkan peluang berniaga seperti ini, saya ambil segera. Mana tahu, dengan cara ini saya mampu membawa perubahan dalam hidup dan keluarga.” Dia menambah cerita.

Menyentuh tentang ibunya, Nuzul memberitahu bahawa ibunya adalah wanita berhati waja yang merupakan seorang ibu tunggal. Sungguhpun telah berpisah dengan suami, namun dia tega memikul beban membesarkan anak-anak. Kini, dengan usia sudah menginjak usia 40-an, ibunya terus bekerja di sebuah sekolah tadika sebagai tukang masak.

“Saya baharu sahaja memulakan perniagaan jual burger ini. Baharu mula sebulan sebelum Ramadan tahun ini. Sebelum bulan puasa dahulu, Alhamdulillah sambutan memang menggalakkan. Namun, sepanjang Ramadan saya tidak dapat berniaga. Setelah membuka gerai pada tiga hari pertama berpuasa, tiada orang yang mahu makan burger. Mungkin orang dah kekenyangan berbuka. Akhirnya saya ambil keputusan menutup gerai. Sekarang ini, selepas musim raya baharu nak pulih semula. Sambutan sudah ada, tetapi tidaklah sehebat seperti mana sebelum Ramadan dahulu.” Tambah Nuzul panjang lebar dan lebih ceria berkongsi ceritanya.

Myburger hakikatnya adalah inisiatif LZS melalui Pusat Pembangunan Usahawan Asnaf Zakat, iaitu dengan membuat kerjasama pintar bersama sebuah syarikat pengeluar daging burger muslim tempatan. Melalui pelan ini, mana-mana asnaf yang berminat dan layak, maka mereka akan diberikan peluang berniaga burger dengan jenama ‘Myburger’.

LZS dan syarikat berkenaan akan menyediakan gerai burger, daging dan semua keperluan awal menyediakan jualan burger. Peniaga burger juga, seperti Nuzul akan diberikan gaji sebanyak RM900 sebulan atas hasil jualannya. Namun, seandainya mereka gagal melepasi sasaran jualan minimum yang telah ditetapkan, pihak LZS berhak memotong gaji berkenaan.

Tujuannya hanya satu, iaitu agar mereka tidak mudah mengambil sikap sambil lewa dalam berniaga kerana diberikan gaji tetap; sebaliknya akan cuba berusaha memastikan jualan yang tinggi menerusi kualiti penyediaan burger dan layanan yang diberikan baik dan memuaskan. Itulah sebabnya LZS berusaha mewujudkan skim bantuan seperti ini.

“Alhamdulillah, buat masa ini jualan saya mencecah RM40 sehingga RM50 sehari. Saya perlu usaha lagi bagi menambah jualan, jika tidak gaji saya juga akan berkurangan.” Tegas Nuzul.

Sebelum menutup bicara bagi membolehkan penulis menikmati sebiji burger ayam spesial hasil tangan Nuzul, tanpa sangka dia melontarkan sebongkah harapan yang amat mengesankan.

“Jika boleh, saya mahu kekal lama dalam perniagaan ini. Saya mahu perniagaan burger ini maju dan tidak dirundung masalah. Saya sedar, bukan semua orang berpeluang mendapat ruang dan kesempatan berniaga seperti ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada LZS kerana memberikan peluang ini. Kepada semua pembayar zakat pula, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kerana dengan zakat yang ditunaikan itulah, maka orang-orang seperti saya ini dapat mengubah nasib. Penulis berdoa semoga rezeki mereka bertambah berkat hendaknya.”

Perbualan tamat. Nuzul kembali melayani permintaan peminat burgernya. Saya dan teman-teman di Kaunter LZS Selayang tidak sabar-sabar lagi mahu menikmati burger ayam special, hasil tangan seorang anak asnaf berjiwa besar bernama Nuzul. Doa saya, semoga Allah SWT memberkati perjalanan hidup Nuzul dan membantunya berjaya mencapai cita-citanya menjadi usahawan burger yang berjaya, amin.

Nota: Artikel ini adalah kisah nyata dan ditambah sedikit perisa oleh penulis, dan sesiapa yang mahu merasai sendiri keenakan burger Nuzul, boleh mengunjungi gerai Myburger di Pusat Komuniti Asnaf, LZS Selayang, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor. Nuzul memulakan perniagaannya setiap hari dari jam 1 tengah hari sehingga 10 malam.

Nota: Hamizul Abdul Hamid merupakan Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS).