Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

MAZNAH MAKAN DENGAN SAMSENG


Perniagaan berasaskan keselamatan menuntut keberanian yang luar biasa


MENJALANKAN perniagaan kawalan keselamatan menuntut keberanian yang luar biasa. Kata Pengarah Eksekutif, Kumpulan Securiforce Sdn. Bhd. (Securiforce), Datuk Maznah Hamid, tanpa keberanian itu, impian akan tinggal impian.

“Kerana peranan kami sudah seperti polis. Kami terpaksa berdepan dengan kumpulan samseng, penagih dadah dan penjenayah yang sentiasa mencabar keselamatan pelanggan kami. Maka kami terpaksalah bijak mengatur strategi untuk membanteras aktiviti mereka. Adakala kena pergi minum, makan atau berkawan dengan mereka untuk mengetahui muslihat kumpulan itu supaya keselamatan kami tidak tergugat,” katanya yang menyedari wujud lebih 30 geng samseng di seluruh negara.

Maznah merupakan wanita pertama di Malaysia yang mengetuai sebuah syarikat kawalan keselamatan. Antara lain, Securiforce menyediakan perkhidmatan van sekuriti dan kawalan bangunan.

“Menjadi kelebihan pula menjadi seorang wanita dalam bidang ini. Agaknya, kalau lelaki berada di tempat saya mungkin sudah kena pukul,” ujar Maznah berderai tawa.


IBU kepada lima orang anak ini seorang yang begitu menghargai pengalaman.


Satu lagi faktor yang menyokong perkembangan Securiforce ialah keupayaan anggotanya untuk memprogramkan diri sejak mula bekerja.

“Masalah utama orang kita ialah disiplin. Perniagaan seperti ini beroperasi 24 jam sehari. Kesanggupan untuk mengorbankan waktu tidur memerlukan disiplin yang tinggi,” ujar Maznah yang berpendapat kejayaan tidak sepatutnya diperoleh secara ekspres atau dalam sekelip mata.

Setelah beroperasi selama hampir 29 tahun, Securiforce kini bangga dapat menyaingi lebih 400 syarikat seumpamanya di negara ini.

“Orang mungkin lihat kami sudah berjaya dan kaya raya. Tetapi bagi kami, pencarian belum berakhir,” ujar anak kelahiran Jerlun, Kedah, ini.

Impikan waktu 36 jam sehari

Maznah mengakui, beliau dan suami suka mempelajari sesuatu yang baru. Beliau turut mengesyorkan supaya bakal usahawan mengambil satu atau dua kursus kemahiran sebagai modal perniagaan.

“Latihan secara praktikal dan pengalaman bekerja lebih penting berbanding segulung ijazah,” jelas beliau yang sering mengimpikan alangkah baiknya jika terdapat 36 jam dalam sehari berbanding 24 jam sahaja. Selain mengepalai syarikat keselamatan, Maznah juga terlibat dalam bidang hartanah dan pembangunan sumber manusia. Seorang yang begitu menghargai pengalaman, Maznah akan memastikan anak-anaknya yang berminat untuk bekerja dengan Securiforce memulakan kerjaya di peringkat paling bawah.

“Biar mereka tahu bagaimana seorang jaga bekerja atau memandu van sekuriti supaya mereka faham selok-belok perniagaan ini,” kongsi Maznah.

KELUARGA Maznah. (Dari kiri): Mohamad Shafiq, 20, Nurul Shameem, 24, Mazreen Shanim, 17, Datuk Shaheen, Maznah, Mohamad Nabeel, 3, Nor Sharmila, 29, dan suami, Mohamad Nizar, 31, dan Shahril Reza, 28.


Untuk berjaya dalam sesebuah perniagaan, Maznah menyarankan dua subjek perlu diberi perhatian iaitu perakaunan dan perniagaan.

“Lima anak saya semuanya menunjukkan minat untuk menjadi usahawan. Saya galakkan mereka mengambil kedua-dua jurusan sebagai pengetahuan asas. Seperti suami saya yang memiliki kelulusan dalam bidang perakaunan, kami kemudiannya memperkayakan diri dengan strategi perniagaan pula,” katanya. Melalui ilmu jugalah Maznah terselamat daripada mengalami kerugian yang mampu meruntuhkan perniagaannya.

“Nasihat saya, kalau tidak mahu ditimpa ‘bala’ jangan memulakan perniagaan dengan berhutang. Gunakan wang sendiri. Juga jangan mulakan dengan jumlah modal yang terlalu besar.” Sikap berhati-hati menjadi satu lagi kelebihan Maznah dan suami, Datuk Shaheen Mirza Habib, 58. Namun, itu tidak bermakna mereka tidak pernah berdepan dengan waktu sukar.

“Pada peringkat permulaan perniagaan, kami belajar erti kesilapan pelaburan yang amat merugikan. Ia berikutan kami tersalah memilih produk. Penggunaan Sistem Penyeliaan Pusat (CMS) yang kami perhatikan di negara Barat rupa-rupanya terlalu jauh ke depan berbanding status negara pada waktu itu. Kami terlupa negara masih kekurangan bangunan pencakar langit pada sekitar 1980-an. Ini bermakna permintaan untuknya terlalu kecil. Tetapi syukur, kami tidak dibebani hutang, membolehkan kami bangun semula tanpa banyak masalah,” cerita Maznah.

Menjadi satu kebanggaan baginya apabila kami dapat menjalankan perniagaan menggunakan modal sendiri. Bermula dengan modal RM5,000, sekarang Securiforce sudah memiliki 60 cawangan di seluruh negara dan beberapa di luar negara, mampu menggaji hampir 5,000 pekerja. Ia juga mereka cipta serta menghasilkan van kalis pelurunya sendiri.